RENUNGAN BAGI SEMUA RAKYAT MALAYSIA
Mingguan Malaysia 2 Ogos 2009) luahan Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah,        Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
"Saya        dikecam hebat, apabila salah satu laman blog menyiarkan semula artikel        saya minggu lalu dalam Mingguan Malaysia, bertajuk ‘Nasib Melayu di Bumi        Melayu’.
Saya dituduh sebagai penulis upahan UMNO, lupa asal usul        diri, lebih Melayu daripada Melayu, Cina tidak sedar diri, rasis dan        berbagai kecaman dilemparkan oleh golongan ultra kiasu ini.
Saya        mengucapkan terima kasih atas yang respon yang telah disampaikan. Saya        tidak berhasrat untuk memberikan respon, kerana saya malas melayan        idea-idea picisan yang menyerang peribadi dan tidak langsung menampakkan        bahawa mereka ini seorang yang profesional.
Orang sebegini tidak        selayaknya untuk dilayan, biarlah mereka terjun dengan        labu-labunya.
Lagipun saya tidak pasti sama ada mereka faham atau        tidak, artikel yang saya tulis dalam bahasa Melayu, atau mungkin juga        mereka lebih memahami bahasa Inggeris atau bahasa ibunda, daripada        memahami bahasa kebangsaan itu sendiri sehingga mereka tidak faham apa        yang saya maksudkan.
Begitu juga dengan akhbar Cina, China Press        dan Nanyang Siang Pau berniat jahat dengan secara sengaja memaparkan        sebahagian kecil artikel saya berkaitan Beng Hock, mengenai anak luar        nikah yang dikandung oleh teman wanitanya.
Sedangkan simpati dan        pembelaan saya terhadap mendiang tidak disiarkan langsung.
Ini        menunjukkan betapa rasisnya akhbar Cina.
Saya        dituntut oleh keluarga mendiang untuk meminta maaf.
Terus terang,        saya tidak perlu meminta maaf kerana saya berkata yang        benar.
Bersekedudukan sebelum nikah adalah haram di sisi agama        apa sekalipun.
Kenapa agama Islam sahaja yang dipersoalkan,        adakah agama lain menghalalkan perbuatan sedemikian?
Sebelum        memeluk Islam, saya dahulunya pernah menganut agama Buddha dan        Kristian.
Kedua-dua agama        ini mengharamkan sama sekali bersekedudukan sebelum nikah.
Persoalan        sama ada mereka yang melakukan perbuatan sedemikian akan bertanggungjawab        atau tidak, itu tidak berbangkit.
Apakah kita mahu menghalalkan        perkara ini sehingga menjadi budaya masyarakat kita?
Apakah kita        mahu ia turut berlaku kepada anak atau adik-beradik kita?
Justeru,        bila saya menulis, saya selalu meletakkan diri saya sebagai rakyat        Malaysia atau bangsa Malaysia , bukannya orang Cina.
Ini bertujuan        supaya pandangan saya tidak berat sebelah atau bias.
Jika orang        Islam melakukan kesalahan saya akan tegur, begitu juga yang        lain.
Adakah kerana hanya saya berbangsa Cina, maka saya patut        selindungkan sesuatu keburukan yang berlaku pada bangsa saya?
Sudah        tentu tidak kerana saya perlu berkata benar.
Jika orang Cina baik,        saya akan puji sebab itu kenyataan.
Begitulah sebaliknya, jika ada        kelemahan, kita terpaksa terima walaupun pahit.
Pada saya, hujah        yang dikemukakan mesti dibalas dengan hujah berasaskan fakta dan ilmu,        bukan menyerangkan peribadi.
Untuk makluman semua, saya mendapat        ijazah kedoktoran dalam bidang politik dan kerajaan.
Tajuk tesis        saya berkaitan dengan ‘persepsi orang Cina terhadap gerakan politik        UMNO’.
Hujah yang saya lontar itu adalah datang daripada dapatan        sebahagian kecil kajian yang dibuat terhadap politik silang budaya kedua        kaum ini secara kuantitatif dan kualitatif.
Apakah saya tidak        layak untuk memperjelaskan isu ini? Apakah yang berkokok itu pernah        membuat kajian atau sekadar emosi yang menghantui diri sehingga tidak        sedar diri?
Itupun nasib baik saya tidak ada rekod-rekod yang        buruk sebelum ini seperti ahli politik dan penulis yang lain.
Jika        tidak, semua peribadi buruk akan diungkit dan digunakan sebagai senjata        untuk mengecam saya.
Inilah budaya perkauman dan budaya ‘pandir’        yang telah dicanangkan sejak sekian lama, terutama apabila kerajaan gagal        mendidik mereka memahami sejarah sehingga menjadi manusia yang tidak        mengenang budi ini.
Malah mereka menjadi semakin ultra        kiasu dan tidak mahu menerima hakikat yang sebenar.
Saya        hanya cuba mengatakan yang benar.
Saya tidak mendapat satu sen        daripada UMNO apabila artikel tersebut disiarkan.
Begitu jua saya        tidak mendapat satu sen pun wang zakat setelah 24 tahun memeluk        Islam.
Saya tidak ada banglo mewah, kereta mewah dan lain-lain        kemewahan.
Saya bersyukur dan bahagia dengan apa yang ada, hidup        sebagai rakyat biasa.
Malangnya, bila ada komen saya menyebelahi        kerajaan/UMNO saya akan dituduh bermacam-macam.
Bila idea saya        menyebelahi pembangkang, saya akan dipuji melambung.
Saya bukanlah        dalam kategori yang mudah lupa diri bila dipuji. Saya sentiasa memuhasabah        diri apabila dikeji. Sifat ini perlu ada pada semua        manusia.
Saya menulis atas        kebenaran. 
Saya        adalah kalangan orang Cina yang celik sejarah dan celik        perlembagaan.
Saya tahu asal usul saya.
Saya        bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang saya tulis sama ada di dunia        mahupun di akhirat. Saya tidak fikir tulisan sedemikian rupa akan        menyebabkan Allah SWT mencampakkan saya ke dalam neraka, berbanding mereka        yang selalu mengumpat dan menyerang peribadi orang tidak        sudah-sudah.
Saya menulis apa yang benar, apa yang salah. Saya        tidak menuding jari terhadap siapa yang benar atau siapa yang        salah.
Saya tidak ada        masalah untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja untuk berhujah        secara ilmiah dan akademik, bukan berasaskan        sentimen, politik sempit dan jumud. 
Janganlah        jadi pengecut, melepaskan geram yang menampakkan kebodohan diri        sendiri.
Janganlah terlampau ultra kiasu kepada kaum        sendiri.
Tindakan ekstrem tidak akan mendatangkan kebaikan        kepada semua pihak. Malah akan mengusutkan lagi sesuatu yang telah        kusut.
Terus terang saya katakan, setelah membanding Malaysia        dengan negara-negara lain di dunia, ternyata Malaysia adalah sebuah lain        dari yang lain. Amat unik dan toleransinya amat tinggi, terutama kalangan        orang Melayu.
Selaku rakyat berbangsa Cina, saya amat berasa        bertuah hidup di bumi bertuah ini. 
Orang Cina (juga        India ) bernasib baik        kerana kerajaan        Malaysia sejak sebelum        dan selepas merdeka, tidak banyak berusaha sama sekali mengasimilasikan mereka walaupun        kerajaan berhak melakukannya terhadap mereka yang berhijrah.
Mereka        adalah seperti orang Cina seadanya seperti mereka di negeri China .        Bersekolah, berbudaya, bertutur dan semua cara hidup berasaskan        keCinaan (atau keIndiaan). Mana ada negara di dunia seperti        ini?
Berbanding        dengan negara lain, seperti Thailand dan Indonesia serta lain-lain negara        dunia, mereka yang berhijrah mesti diasimilasikan dahulu sebelum menjadi        warga negara di sana .
Kita lihat di Thailand , pada tahun 1930an        semua identiti kaum Cina dihapuskan termasuk meroboh semua sekolah        Cina.
Hari ini, orang Cina di        Thailand sudah tidak seperti orang Cina. Mereka telah diasimilasikan        menjadi orang Thai ( Siam ).
Tidak ada        beza antara orang Thai dan orang Cina. Cina yang sudah tidak ada semangat        Cina.
Malah mereka tidak ada keinginan langsung untuk pergi ke        negeri China . Begitu juga di Indonesia . Banyak lagi contoh lain yang        boleh saya ketengahkan. Ini yang menjadikan saya sedar diri dan        bersyukur.
Berbeza dengan di Malaysia , sudahlah namanya bertukar        daripada Tanah Melayu kepada Malaysia , keadaan masih tidak banyak        berubah.
Orang Cina tetap dengan keCinaan        mereka.
Lebih menyedihkan ada di kalangan mereka (ramai) tidak        boleh berbahasa Melayu dengan baik.
Mereka langsung tidak mahu        diasimilasikan. Mereka tidak mahu ambil tahu langsung tentang adat budaya        Melayu.
Malah, mereka malu berbahasa Melayu sebab mereka memandang        rendah pada orang Melayu.
Istilah-istilah yang digunakan terhadap        orang Melayupun istilah-istilah menghina yang tidak perlu saya tulis di        sini, kerana sebagai orang Cina saya tahu apa yang        berlaku.
Justeru, dapatan kajian saya tidak mengejut, orang Cina        akan berjuang habis-habisan sebarang percubaan untuk mengasimilasikan        mereka dan percubaan untuk menyeragamkan sistem pendidikan kepada satu        sekolah.
Pendek kata, hidup mati orang Cina adalah dengan sekolah        Cina dan semangat keCinaan mereka.
Saya merasa bersyukur kerana        dilahirkan di kampung Melayu, tetapi dibesarkan dalam keluarga yang begitu        kuat berpegang kepada tradisi Cina.
Alhamdulillah, saya dapat        memahami orang Melayu dengan lebih mendalam melalui        pergaulan.
Begitu juga dengan sahabat-sahabat saya yang lain. Saya        tahu sensitiviti orang Melayu dan cara hidup Melayu.
Latar belakang        sebegini, tidak semestinya menjadikan saya orang Melayu, kerana saya        adalah orang Cina yang dijadikan Allah SWT, darahnya tetap darah Cina.        Jika saya ditakdir lahir di kawasan orang Cina, saya fikir saya tidak        banyak berubah, sebab saya celik sejarah, celik perlembagaan serta sedar        diri. Pokoknya, kita mesti sedar diri dan memahami sejarah        negara.
Sejarah Malaysia adalah berakarkan kepada Sejarah Melayu.        Malaysia tidak boleh dipisahkan dengan bangsa Melayu. Sejarah inilah yang        tidak dapat dipisahkan juga dengan istilah ketuanan Islam dan ketuanan        Melayu.
Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu.
Tetapi jika        istilah ini digunakan untuk menunjukkan bahawa penduduk Melayu adalah        pribumi asal, pada saya ia tidak salah sepertimana yang pernah ditegaskan        oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ketuanan        Melayu bukanlah merujuk kepada hubungan antara ‘tuan’ dan ‘hamba’. Saya        tidak fikir istilah ketuanan Melayu akan digunakan jika sekiranya nama        Malaysia kekal seperti nama asalnya dahulu iaitu Tanah Melayu.
Nama        Malaysia tidak menampakkan identiti Melayu. Dengan sebab itu, istilah        ketuanan Melayu digunakan. Justeru, tidak salah penggunaan istilah ini        jika dengan maksud dan tujuan yang baik dan bukan menghina bangsa        lain.
Pada hemat saya, jika istilah ketuanan Melayu hanya digunakan        untuk merujuk kepada sejarah Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa        kebangsaan, Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu        dan hak-hak istimewa Melayu dan Islam yang termaktub dalam perlembagaan        dan sebagainya berkaitan dengan Melayu, saya fikir itu tidak        salah.
Identiti ini sekadar hendak menunjukkan bahawa inilah        keadaan Malaysia yang sebenar, sebelum dan selepas merdeka.
Apa        yang penting perlaksanaan dasar mesti tidak mendiskriminasikan semua kaum        yang ada di negara ini. Jika ada pun diskriminasi atau ketidakadilan yang        berlaku, yang patut dipersalahkan mereka yang melaksanakan dasar, bukannya        menolak sesuatu dasar yang telah dipersetujui bersama. Adakah saya rasis        apabila memperkatakan perkara ini?
Saya masih teringat apabila        Teresa Kok dilantik menjadi exco kerajaan negeri Selangor, perkara pertama        yang beliau ucapkan adalah idea untuk mewujudkan sebuah bandar Cina di        mana di situ ada kawasan perindustrian Cina dan institusi pengajian Cina        untuk menarik pelabur-pelabur daripada negara China        .
Apakah idea ini        tidak rasis? 
Adakah        saya yang membangkitkan isu ini rasis? Bila saya membela Cina tidak rasis,        bila mana saya membela Melayu dan Islam, saya dituduh rasis.
Jangan        jadi seperti gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang laut nampak        begitu jelas.
Bila isu        menyebelahi Cina atau India, kita senyap. Bila isu menyebelahi Melayu,        bagaikan nak runtuh satu Malaysia ? 
Apakah        politik sebegini tidak rasis?
Saya harap kita jangan bertindak        seperti kacang lupakan kulit.
Tolak ansur yang berjalan        selama ini tidak ada tolok bandingnya.
Saya masih tidak lupa,        ketika segelintir pertubuhan Cina mahu mendirikan tugu Tentera Rakyat        Malaya Anti-Jepun atau Malayan People’s Anti- Japanese Army (MPAJA) di        Taman Peringatan Nilai, sebagai memperingati pejuang-pejuang Cina yang        gugur menentang Jepun ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu        1942-1945.
Tugu tersebut telah didirikan atas alasan memperingati        mereka yang telah terkorban mempertahankan kemerdekaan Tanah        Melayu.
Fakta ini salah dan menyeleweng.
Ketika tugu ini        sedang didirikan, beberapa pertubuhan Melayu dan juga bukan Melayu yang        memahami sejarah (lihat artikel saya dalam Utusan Malaysia 26.12.2006),        mahukan fakta sejarah tersebut diperbetulkan dan tugu tersebut tidak        dibina.
Mereka bukan        pejuang kemerdekaan tetapi mereka bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya        (PKM) untuk menentang Jepun. 
Ini        disebabkan oleh sejarah politik/perang/ permusuhan antara Jepun-China pada        tahun 1894, 1895 dan 1937. Jepun dan China saling berperang dan        berdendam antara satu sama lain. 
Penentangan Cina terhadap        Jepun dan penganiayaan Jepun terhadap orang Cina, lebih kepada isu        membalas dendam bukannya perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu..        
MPAJA adalah alat PKM.
Justeru, kita lihat apabila        Jepun meninggalkan Tanah Melayu, PKM mempunyai cita-cita tinggi untuk memerintah Tanah Melayu.
Pada masa sama sebelum itu, MPAJA        diperalatkan British untuk menentang Jepun. Dalam hal ini, tidak timbul        langsung isu MPAJA memperjuangkan kemerdekaan tanah air.
Jikapun        benar, kenapa MPAJA tidak menentang Malayan Union yang diperkenalkan        British selepas Jepun menyerah kalah?
Malangnya, hari ini tugu        MPAJA telah berdiri megah di Taman Peringatan Nilai, dan menjadi pusat        penyembahan.
Apakah kerana saya membangkitkan isu ini bermakna        saya rasis. Adakah yang membina tugu itu tidak rasis?
Adakah        kewujudan bandar Cina atau China Town di setiap bandar itu tidak        rasis.
Pernahkah kita dengar ada Malay Town di negara bertuah        ini.
Atau terdapatkah universiti kepunyaan UMNO di negara        ini?
Tetapi kita ada :
- Kolej/Universiti Tunku Abdul Rahman (MCA),
 - Universiti Terbuka Wawasan (Gerakan),
 - Kolej New Era (Dong Jiao Zong),
 - Asian Institute of Medical Science and Technology (AIMST-MIC) dan bermacam-macam lagi institusi berasaskan kaum.
 
Adakah ia tidak        rasis? Siapakah sebenarnya yang rasis?
Cuba kaji berapa banyak        peruntukan yang diberi oleh kerajaan terhadap universiti kepunyaan MCA,        Gerakan dan MIC ini?
Ini tidak termasuk nama-nama jalan yang ingin        diubah kepada nama individu tertentu dan menggunakan nama jalan pelbagai        bahasa atas alasan agar pelancong dapat tahu nama-nama jalan        tersebut.
Perlukah kita mengajar pelancong ini dengan bahasa mereka        sendiri. Bukankah pelancong datang ke sini untuk memahami budaya dan        bahasa rasmi di sini.
Bukankah kita ada satu bahasa iaitu bahasa        kebangsaan yang boleh difahami oleh semua kaum, yang perlu didaulatkan.        Adakah ini tidak rasis? 
Ke manakah kita nak bawa negara        Malaysia ?
Apakah akar Melayu perlu dibuang langsung.
Pada        hemat saya, apapun yang berlaku kita perlu menghormati orang Melayu selaku        penduduk asal di negara ini dari segi sejarah.
Manakala orang        Melayu juga perlu menghormati orang orang bukan Melayu.
Pendek        kata, kita perlu saling hormat-menghormati perlembagaan yang telah        dipersetujui secara bersama, walaupun ia nampak lebih menyebelahi orang        Melayu. Tetapi hak kita sebagai bukan Melayu tidak diabaikan.
Saya        bangkitkan isu kuil dan rumah ibadat kerana itulah hakikat yang        sebenar.
Saya tidak fikir semua rumah ibadat dibina sendiri,        menggunakan wang sendiri mereka.
Kebanyakan rumah ibadat kaum-kaum        lain dibina di atas tanah kerajaan.
Bukan Melayu tidak boleh        membandingkan agama mereka dengan Islam, kerana terdapat peruntukan        istimewa kedudukan Islam dalam perlembagaan.
Perkara ini telah        dipersetujui secara bersama ketika perlembagaan digubal. Justeru,        keistimewaan agama Islam perlu dihormati. Sudah pasti dalam hal ini hak        bukan Islam tidak terabai kerana Islam menghormati hak agama-agama        lain.
Begitu juga dengan DEB. Ia tidak boleh dilihat dari        perspektif negatif semata-mata.
Berapa ramai orang bukan Melayu        mendapat habuan daripada kejayaan orang Melayu dalam DEB?
Sila baca        buku yang ditulis oleh Tan Teong Jin, Ho Wah Foon dan Tan Joo Lan dalam        bukunya the Chinese Malaysian Contribution.
Mereka melihat        bagaimana orang Cina mendapat habuan apabila orang Melayu turut        berjaya.
Jika orang Melayu berjaya melalui DEB, sebahagian besar        pengeluar adalah orang Cina.
Ini bermakna, bila orang Melayu        berjaya, orang Cina dapat percikan dan kejayaan sama.
Adakah        kejayaan Cina disebabkan usaha mereka semata-mata?
Jawabannya        tidak!
Banyak faktor yang menyumbang seperti dasar-dasar kerajaan,        kejayaan DEB dan sebagainya.
Janganlah anggap apa yang kita ada        hari ini semata-mata kerana usaha kita sendiri tanpa melihat bagaimana        kejayaan itu dicapai.
Dengan sebab itu, sebelum kenyataan        dihamburkan, mereka mesti mengetahui asal-usul sejarah Malaysia terlebih        dahulu.
Bagaimana Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia        ?
Bagaimana identiti sesebuah negara tercabut disebabkan oleh tolak        ansur meraikan semua pihak?
Sedangkan kita        tahu bahawa Tanah Melayu, boleh terus kekalkan menjadi nama Tanah        Melayu.
Begitu        juga di Singapura, boleh terus kekal menjadi salah sebuah negara Melayu di        kepulauan Melayu.
Kenapakah sebuah        negara Melayu boleh terlepas menjadi negara Cina di kepulauan        Melayu?
Pernahkah        kita terfikir betapa beruntungnya nasib kita berada di sini?
Kita        perlu ingat, bermasyarakat majmuk bukan berlaku secara        semulajadi.
Tidak ada satu negara di dunia bermula dengan        masyarakat majmuk.
Semua negara bermula dengan satu        bangsa.
Nama bangsa tersebut, biasanya akan menjadi nama sesebuah        negara itu.
Misalnya, Melayu – Tanah Melayu, Cina – China, India –        India, Siam – Siam (Thai), Vietnam – Vietnam, Arab – negara-negara Arab,        barat – negara-negara kulit putih dan sebagainya.
Kemajmukan        sesebuah negara berlaku disebabkan oleh penghijrahan.
Justeru, kaji        sejarah ini. Kenapa ia boleh berlaku sedemikian rupa?
Setelah        dikaji, bandingkan, siapakah atau negara manakah yang lebih bernasib        baik?
Orang orang Melayu tidak ada lagi tempat dituju melainkan di        negara-negara kepulauan mereka sendiri. Sedangkan orang lain mungkin ada        tempat yang hendak dituju.
Bandingkan juga dengan        Singapura.
Sebuah negara Melayu yang telah jatuh kepada orang        majoriti Cina.
Adakah nasib Melayu Singapura terbela?
Adakah        kerajaan Singapura mempercayai orang Melayu?
Berapa ramai kah orang        Melayu Singapura dilantik menjadi menteri dan jawatan-jawatan tinggi dalam        tentera, polis, imigresen dan lain-lain?
Kerajaan Singapura lebih        mempercayai orang India yang majoritinya lebih kecil daripada        Melayu?
Orang Melayu Singapura merempat di bumi mereka sendiri.        Adakah kita mahu ia berlaku di Malaysia ?
Dalam isu Teoh Beng Hock,        saya sudah terus terang mengatakan bahawa kematian beliau perlu        dibela.
Cuma, saya timbulkan janganlah kita mengeluarkan        pandangan-pandangan yang boleh mengguris hati orang lain.
Orang        Melayu tidak hanya berada didalam PKR dan PAS sahaja!
Melayu juga        ada didalam UMNO, parti-parti lain dan ada yang tidak menyertai mana-mana        parti politik.
Adakah kerana kita berada dalam Pakatan, bermakna        kita hanya perlu menjaga hati bukan Melayu dalam PR        sahaja.
Bagaimana dengan yang lain? Saya mengaitkan isu Teoh Beng        Hock dengan agama, kerana kita adalah masyarakat yang        beragama.
Mana ada satupun agama yang membenarkan hubungan seks        sebelum berkahwin?
Jika adalah orang Islam yang terlibat dalam seks        bebas sebelum berkahwin, itu adalah salah individu individu        tersebut.
Jangan pula agama mereka dipersalahkan.
Agama itu        terlalu suci.
Kalau tidak faham agama sendiri, belajarlah, jangan        jadi jahil.
Bila saya bercakap seumpama ini saya dituduh tali barut        UMNO..
Apakah UMNO ini terlalu buruk? 
Apakah UMNO        tidak ada jasa langsung terhadap orang Cina atau Melayu yang        lain?
Adakah kejayaan orang Cina ini hari berlaku dengan secara        semulajadi?
Apakah UMNO itu terlalu buruk sehingga kepentingan kaum        lain dinafikan sama sekali?
Memang tidak dinafikan bahawa UMNO ada        kelemahan, kerana UMNO itu ditadbirkan oleh manusia.
Jika ada        penyelewengan dan korupsi dalam UMNO, itu adalah perbuatan segelintir        individu, masih ramai orang UMNO yang baik-baik yang masih boleh dijadikan        kawan dan didakwahkan.
Adakah kita terlampau baik sehingga tidak        boleh ditegur?
Janganlah jadi        seperti kacang lupakan kulit."


saya sokong ustaz dr ridhuan
ReplyDeletesalam sdr TYCOH
ReplyDeletesatu penulisan yang penuh dengan fakta dan kajian mendalam tahniah
salam
salam perjuangan dr saya...
ReplyDeleteSalam Perjuangan....
ReplyDeleteTeruskan penulisan sdr... Perjuangan masih belum selesai lg...
nak menjatuhkan negara tak susah..tapi adakah ianya akan pulih kembali?
ReplyDeletesalam bro...teruskan perjuangan saudara yang murni ini...
ReplyDeletesalam dari,anakmelayu30.blogspot.com
support bro....
ULTRA KAISU ?
ReplyDeleteTelah Melahirkan PAP ? dan menakluk Singapore ?
Di Malaysia = Dong Jiang Jziou ? ? Sedang menggunakan (DAP s/o PAP) + + + (PKR + (ex pas)) for the same purpose ? ?
Unfortunate: couse The World will come to an end.