Friday, October 11, 2013


10 SOALAN UNTUK PEMIMPIN UMNO




Ada yang umumkan mereka tidak ada bertanding apa-apa jawatan dalam pemilihan UMNO akan datang. Ada yang umumkan akan bertanding Naib Presiden atau sebagai ahli Majlis Tertinggi.


Begitu juga semakin ramai yang ghairah umumkan untuk bertanding jawatan-jawatan dalam Wanita, Pemuda dan Puteri.


Baguslah. Sesiapa saja yang ingin bersama menerajui agenda parti, bukan saja dalam UMNO tetapi juga parti-parti politik yang lain, harus digalakkan. Orang nak berbakti melalui wadah politik, kita sokong.


Apabila berlaku pertandingan, maka ahli parti perlu membuat keputusan. Dalam soal yang besar ini, maka keputusan tidak boleh dibuat berdasarkan siapa yang selalu keluar dalam media atau siapakah yang paling rapat dengan kita.


Orang yang selalu keluar dalam media belum tentu merupakan pemimpin politik yang baik. Orang yang paling rapat dengan kita juga tidak semestinya orang yang paling sesuai untuk pegang jawatan dalam parti.


Maka, keputusan harus dilandaskan kepada:


Pertama, bakti - rekod sumbangan kepada parti. [Apakah yang telah anda sumbangkan selama ini? Boleh "quantify" sumbangan tersebut?]


Kedua, idealisme perjuangan. [Apakah citra perjuangan anda? Adakah ia selari dengan perjuangan parti?]


Ketiga, apakah sumbangan yang bakal diberikan dengan jawatan yang ditandingi. [Sekiranya dipilih, apakah perubahan yang akan anda bawa? Bagaimanakah rekod sumbangan anda selama ini akan menyokong perubahan yang ingin anda bawa?]


Keempat, kemampuan intelektual dan tahap keilmuan. [Sejauh manakah anda mampu menggarap idealisme perjuangan dengan ilmu? Setakat manakah ahli parti menilai kemampuan intelektualisme anda?]


Kelima, potensi untuk dia naik ke tahap kepimpinan yang tinggi. [Selepas dipilih ke jawatan ini, adakah anda mampu untuk naik ke tahap yang lebih tinggi & setakat manakah tahap itu?]


Keenam, kemampuan untuk mengartikulasi perjuangan parti dengan rakyat. [Selama ini, adakah anda mampu dan bagaimanakah anda berkomunikasi mesej perjuangan parti dengan rakyat?]


Ketujuh, integriti politik dan keperibadian. [Sejauh manakah keperibadian anda boleh menjadi aset kepada parti?]


Kelapan, kesuaiannya untuk menghadapi lawan politik. [Adakah anda boleh menjadi aset kepada parti dalam mencorakkan pendapat awam?]


Kesembilan, sokongan akar umbi kepada kepimpinannya. [Adakah kepimpinan anda didokong oleh majoriti akar umbi?]


Dan, kesepuluh ialah kemampuan untuk bekerja dalam satu pasukan. [Adakah anda mampu menjadi ahli pasukan yang baik - menyumbang kepada matlamat perjuangan secara kolektif?]


Berilah markah di antara 1 hingga 10 bagi setiap perkara di atas. Secara idealnya, seseorang calon yang ingin memegang kepimpinan parti sewajarnya mampu mencapai sekurang-kurangnya sejumlah 80 markah keseluruhan.


Kalau boleh dapat 100 peratus, itu hebat.


Maka, undilah dia!







SUMBER: http://nobisha.blogspot.com/2013/09/10-soalan-untuk-pemimpin-umno.html

No comments:

Post a Comment