Tuesday, July 7, 2009

Pas dan dasar kepuakan

ASABIYAH ialah satu perkataan Arab yang membawa maksud puak keturunan atau suku kaum yang berasal daripada rumpun yang sama. Bagi masyarakat Arab, ia juga disebut sebagai kabilah atau asyirah. Perkataan taksub atau fanatik itu berasal daripada perkataan asabiyah yang membawa erti seruan seseorang supaya disokong puak keturunannya, atau mempertahankan kelompok mereka walaupun nyata kelompok mereka itu melakukan kesalahan dan kezaliman.

Hadis Nabi s.a.w seterusnya menjelaskan yang bermaksud: Telah bertanya seorang lelaki: Wahai Rasulullah, adakah dianggap fanatik puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya? Jawab Baginda, tidak, tetapi fanatik puak ialah seorang yang menolong kaum bangsanya kepada kezaliman.

Seterusnya dari anak Wasilah bin Asqa bahawa beliau telah mendengar bapanya (Wasilah) berkata: Aku bertanya Rasullulah, apakah dia asabiyah itu? Jawab Baginda: Bahawa engkau menolong kaummu di atas dasar kezaliman.

Ini bermakna asabiyah itu ialah semangat pembelaan jahiliah iaitu mempertahankan puak keturunannya walaupun puaknya itu berada dalam kebatilan (salah) dan zalim. Maka di atas dasar asabiyah inilah ia dilarang oleh Islam, bukannya asabiyah itu membela bangsa atau keturunan di atas jalan kebenaran.

Apabila UMNO pada satu ketika dituduh sebagai parti yang memperjuangkan dasar asabiyah oleh Pas (kerana terdapat perkataan Kebangsaan pada nama UMNO itu), perbandingan yang diberikan sebagai hujah Pas begitu mengelirukan malah melucukan. Pas mengatakan oleh kerana UMNO bermaksud United Malays National Organization atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, maka perkataan National atau Kebangsaan pada akronim UMNO telah ditafsir melulu sebagai asabiyah jahiliah.

UMNO bukanlah parti asabiyah iaitu yang mempertahankan kelompok sendiri walaupun kelompok itu melakukan kesalahan. Di dalam UMNO, sesiapa yang melakukan kesalahan, orang itu tidak akan dibela dan dipertahankan. Setinggi mana sekalipun jawatan yang dipegang oleh sebarang ahli UMNO, sekiranya ahli tersebut didapati melakukan kesalahan, tindakan tetap akan diambil, baik menteri kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri dan sebagainya.

Tetapi berlainan halnya dengan Pas. Pas adalah parti asabiyah yang nyata kerana mempertahankan suku sakatnya walaupun yang terang-terang melakukan kesalahan sehingga sanggup berkelahi. Sebagai contoh, apabila Prof. Emeritus Dr. Shahnon Ahmad menulis novel SHIT yang mengandungi perkataan mencarut dan lucah, presiden Pas mempertahankan SHIT apabila dilaporkan sebagai berkata bahawa bahasa SHIT mudah difahami orang dan ia satu sumbangan besar.

Kita bertambah terkejut apabila Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di dalam hujahnya membela Shahnon, telah memberikan alasan bahawa mencela dan memaki hamun dibolehkan mengikut keadaan, kerana Tuhan juga mencela dan memaki hamun dalam Quran. Perbandingan sebegini tidak kena tempat dan amat mengelirukan. Mungkin alasan yang bakal diberikan nanti ialah akhbar tersilap membuat laporan.

Bercakap mengenai perbandingan yang tidak tepat ini, para pemimpin Pas amat gemar melakukannya. Misalnya pembawaan cerita Firaun dengan Nabi Musa, Abu Lahab dengan Nabi s.a.w dan sebagainya melalui ceramah-ceramah dan tulisan-tulisan yang memberi pengertian halus bahawa mereka yang bukan ahli Pas (yakni UMNO) ialah golongan kafir seperti Firaun dan Abu Lahab.

Namun memang terdapat di dalam al-Quran di mana Allah s.w.t mencela Abu Lahab, Firaun, Qarun dan Haman. Abu Lahab ialah seorang kafir harbi. Apakah dalam konteks novel SHIT ini, orang yang dicela dan dimaki oleh Shahnon dan Pas itu seorang kafir harbi seperti Abu Lahab dan Firaun, maka ia juga boleh dicela sedemikian rupa? Malah tidak cukup dengan itu, perkataan yang diguna ialah perkataan mencarut dan lucah pula. Di manakah Pas meletakkan panduan ajaran Islam sepertimana firman Allah yang bermaksud; Dan serulah pada jalan kamu dengan penuh hikmah, nasihat yang baik dan berbincang, berdialog dengan perkataan yang lebih baik?

Sekiranya kita tidak redha dengan perilaku saudara se-Islam, kita tidak boleh mendoakan supaya orang itu binasa. Sebaliknya kita sepatutnya mendoakan supaya Allah s.w.t memberikan petunjuk dan hidayah sebagaimana yang dilakukan oleh Junjungan Besar Nabi s.a.w semasa menyeru golongan kafir Quraisy. Namun ketika Nabi s.a.w menyampaikan seruan Baginda, golongan kafir Quraisy ini telah melontarkan pelbagai kecaman kepada Nabi s.a.w dan sesetengah mereka telah melontar batu sehingga Nabi s.a.w luka berdarah, dan menyebabkan semua malaikat marah. Namun apakah balasan Nabi s.a.w terhadap tindakan pihak kafir Quraisy itu? Nabi s.a.w telah berdoa yang bermaksud: Wahai Tuhanku, berilah petunjuk dan hidayah kepada mereka kerana mereka tidak mengetahui. Sepatutnya perbuatan Nabi s.a.w menjadi teladan kepada kita semua, lebih-lebih lagi kepada mereka yang kononnya mengaku memperjuangkan Islam.

Dalam Surah al-Humazah, ayat 1, Allah telah berfirman, Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji. Di dalam sebuah hadis pula dinyatakan bahawa Islam menganjurkan kita berkata baik kerana berkata baik itu ialah sedekah.

Sikap Shahnon tidak mencerminkan kematangan beliau sebagai seorang ahli akademik yang dihormati. Sekiranya beliau lebih memahami, sepatutnya beliau meminta penjelasan daripada Perdana Menteri sendiri misalnya, bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan yang berlaku. Saya percaya novel ini hasil luahan emosi Shahnon yang hanya diasaskan kepada sumber-sumber berita sampingan sahaja.

Kalaupun terdapat kesilapan yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin, Islam tidak menyuruh kita mengumpat, mencaci, mencarut dan memaki hamun secara terang-terangan. Sekiranya pemimpin tersilap, ada cara untuk menegur. Budaya maki hamun tidak mencerminkan seseorang itu bertamadun dan bermoral apatah lagi sekiranya alim ulama menggunakan budaya maki hamun atau mempertahankan maki hamun kerana maki hamun itu adalah budaya orang yang tidak bermaruah dan seterusnya menjatuhkan air muka sendiri. Tidak terdapat dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w perkataan maki hamun. Allah dan Rasul tidak memaki hamun orang. Yang ada hanyalah celaan dan ancaman balasan pedih kepada orang-orang yang tidak beriman dan orang orang yang jahat.

Selain daripada sikap asabiyah yang mewarnai Pas, parti itu juga kini mempunyai trend melakukan tindakan dan percakapan yang bersifat jahiliah. Misalnya, mengatakan bahawa syaitan boleh diambil sebagai rakan seperjuangan, kerana menurut Pas, ada dalam al-Quran kisah Nabi Sulaiman menggunakan syaitan sebagai pembantu (sedangkan itu adalah mukjizat Nabi Sulaiman yang dikurniakan sebagai satu keistimewaan Allah s.w.t kepada Baginda).

Selain daripada itu, Mursyidul Am Pas juga dilaporkan sebagai berkata bahawa dibolehkan berdoa bagi kita umat Islam memusnahkan orang Islam lain, juga tindakan pemimpin negara ini digelar penjaga babi, dan sebagainya. Kesemua hal ini disokong dengan ayat-ayat al-Quran tertentu sebagai justifikasi atau alasan yang menghalalkan pemimpin-pemimpin Pas ini mengatakan sedemikian tanpa mengira sama ada tepat atau tidak justifikasi mereka itu.

Hal ini bertentangan dengan ajaran Islam dan sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran Surah al-Baqarah, ayat: 41 yang bermaksud: Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat-Ku (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya.

Kita dilarang memperalatkan al-Quran untuk kepentingan sempit peribadi dan parti atau kelompok kita sendiri.

Ilmu boleh menjadi panduan yang berguna, lebih-lebih lagi sekiranya ilmu itu adalah ilmu agama. Tetapi implikasinya juga amat besar sekiranya dipergunakan sebegitu rupa sehingga merosakkan masyarakat. Masyarakat Malaysia terutamanya orang Islam di negara ini, amat mengharapkan tunjuk ajar yang baik daripada alim ulama. Tetapi sekiranya kita salah guna sehingga orang Islam berpecah dan menjadi bertambah keliru, ini amatlah dikesali.

Masyarakat harus sedar bahawa Pas hanya memperalatkan agama untuk mendapatkan kuasa. Dapat kuasa untuk apa? Melaksanakan Islam? Pada pendapat saya tidak, kerana untuk melaksanakan hukum takzir kepada ahli mereka yang berkhalwat sekalipun belum tentu mereka mampu laksanakan, sungguhpun mereka mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian. Bagaimana kita boleh menerima perjuangan untuk melaksanakan dasar Islam Pas ini sekiranya mencarut sekalipun boleh menjadi halal atas alasan ia ada dalam al-Quran?

Saya amat berharap kepada semua pemimpin Islam, alim ulama supaya menunaikan tanggungjawab dengan penuh amanah, memberi ulasan dan penjelasan tanpa mengira untung rugi politik yang sempit sepertimana hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: Katalah yang benar walaupun pahit. Apa yang kita perlu harapkan dari Allah ialah pahala yang banyak bukannya keuntungan dunia semata-mata. Semoga Malaysia terus kekal aman dan tenteram dan semoga Allah s.w.t memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua.

No comments:

Post a Comment