Saturday, July 18, 2009

Apakah itu Syirik?

Syirik adalah kata dasar Syaraka yang bermaksud : Menyamakan sesuatu dengan sesuatu dari segi bahasa. Manakala dari segi syarak bermaksud: Menyamakan Allah dengan sesuatu atau menyamakan sesuatu dengan Allah samada secara iktikad, perbuatan atau perkataan.

Syeikh Sulaiman bin Abdullah telah membahagikan syirik itu kepada empat bahagian iaitu Syirik Rububiyyah, Syirik Asma', Syirik Sifat dan Syirik Ubudaiyah.

Bentuk Syirik Rububiyyah ialah mempersekutukan Allah dalam pentadbiran alam ini iaitu,

Pertama - Menafikan Allah sebagai pentadbir alam ini sebagaimana ucapan yang dilafazkan oleh firaun yang termaktub di dalan Al-Quran yang bermaksud:

"(Firaun berkata) akulah tuhan kamu yang tertinggi".

-Al-Nazaat ayat 24-

Kedua - Mengiktiraf adanya kuasa selain Allah yang mengurus alam ini.

Manakala Syirik Asma' dan Sifat iaitu menyamakan sifat-sifat Allah dengan sesuatu yang lain, samada dalam bentuk tindakan atau percakapan. Ia juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu,

Pertama - Menyamakan Allah dengan makhluk seperti pendapat yang mengatakan tangan Allah seperti tangan makhluk, pandangan dan pendengaran Allah sama seperti pendengaran manusia sedangkan Allah bersifat sempurna sebagaimana firmannya yang bermaksud:

"Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengannya".

Kedua - Menyatakan sifat Allah s.w.t. kurang atau lemah yang nyata bertentangan dengan sifat Allah s.w.t., yang lengkap lagi Maha Tinggi.


Syirik Ubudaiyyah iaitu syirik dari segi penyembahan yang banyak berlaku dalam masyarakat kita samada disedari atau tidak iaitu:

Pertama - Menyembah selain Allah. Meminta dan bergantung harap kepada selainnya seperti meminta sesuatu kepada pokok, busut, kubur keramat, pantai dan lain-lain lagi. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Sembahlah Allah dan jangan kamu menyekutukan sesuatu pun dengan-Nya".

- An-Nisa' ayat 36 -

Kedua - Beribadat dengan tidak ikhklas (riak). Ia beribadat mungkin kerana kepentingan diri, mencari nama, pangkat, pengaruh dan sebagainya. Ia juga disebut sebagai syirik kecil. Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah dan Al-Hakim, seorang sahabat bernama Syaddadi bin Aus telah menemui Rasulullah s.a.w. pada suatu malam dan mendapati baginda sedang menangis, lalu ia pun bertanya :" Kenapa Rasulullah s.a.w. menangis?,. Baginda menjawab :" Aku takut umatku ditimpa syirik walhal mereka bukan menyembah berhala, tidak pula menyembah bulan dan matahari atau batu, hanya kerana mereka berlaku riak dalam mengerjakan amalan".


Kebanyakkan ulama' seperti Syamsuddin Al-Zahbi dalam kitabnya Al-Kabair membahagikan syirik itu kepada dua bahagian iaitu syirik besar dan syirik kecil. Syirik besar menjadikan makhluk lain sebagai sekutu Allah dengan menyembah secara langsung seperti batu, matahari, pokok, manusia dan binatang. Pendapat ini disokong oleh Ibnu Qaumul Jawazi yang menyatakan bahawa orang yang melakukan perkara ini tidak akan diampun oleh Allah melainkan bertaubat dengan taubat Nasuha.

Syirik merupakan amalan yang berbahaya kepada umat Islam. Ia akan menyebabkan jiwa menjadi gelap dan hati menjadi mati. Ia juga akan mempengaruhi perilaku dan sikap individu. Ia akan menyebabkan manusia kehilangan pegangan dan kepercayaan terhadap Allah s.w.t. Malah telah dinukilankan dalam al-quran al-karim sebagai satu perbuatan yang amat zalim iaitu Zulmun Azimun. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

-Luqman ayat 13 -

Selain merupakan satu dosa besar, ia juga tidak mendapat keampunan Allah s.w.t. sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran yang bermaksud:

" Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya)".

- An-Nisa' ayat 48 -


Dalam masyarakat kita hari ini, terdapat beberapa perbuatan syirik tanpa kita sedari iaitu riak dengan menonjol-nonjolkan amalan yang dilakukan bermatlamat untuk dipuji oleh pemimpin, masyarakat dan peminat-peminatnya

. "Barangsiapa yang memperdengarkan (amalannya), maka Allah akan memperdengarkannya dan barangsiapa yang memperlihatkan (amalannya), maka Allah akan memperlihatkannya".

-Riwayat Al-Bahari -

Begitu juga apabila seseorang itu kurang mempercayai dan meragui kekuasaan Allah s.w.t., bahkan ia mengharapkan pula bantuan kuasa lain. Kita juga jarang menyebut dengan izin Allah s.w.t. tetapi biasa dengan perkataan jikalau, sekiranya atau kalau tidak. Perkataan ini merupakan kalimah negatif yang boleh mengurangi kepercayaan terhadap kekuasaan Allah s.w.t.

Contoh paling jelas, apabila seseorang yang ditimpa sakit, yang tiada harapan untuk sembuh, walau pun telah ramai doktor dan dukun cuba mengubatinya, namun masih gagal. Lalu ia berubat dengan salah seorang dukun dan ia telah pulih seperti sedia kala. Walaupun hanya dengan kata-kata yang tidak disedarinya dengan berkata:"Kalau bukan kerana dukun itu, sudah lama aku mati!". Pernyataan yang sedemikian boleh membawa kepada syirik.

Selain itu, dengan mempercayai kuasa-kuasa ghaib yang boleh memberi pertolongan. Penggunaan tangkal supaya menjadi kebal. Memuja dan membayar nazar pada kubur keramat, pokok besar dan keris adalah termasuk perbuatan syirik.Begitu juga ubat guna-guna untuk memperdayakan orang lain supaya tunduk dan mengikut kehendaknya. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambat hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik".

-Riwayat Abu Daud Imam Ahmad -

Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah berwaspada dan berhati-hati dalam sebarang perbuatan, tindakan dan percakapan kerana ditakuti boleh menjerumuskan kita kedalam amalan syirik. Malah ada ketikanya ia berlaku tanpa kita sedari hingga merosakkan unsur-unsur tauhid yang murni dan memandu kita kejalan yang benar. Ingatlah bahawa ketaatan yang paling tinggi adalah tauhid dan kemaksiatan yang paling besar adalah syirik.

Ya-Allah, kurniakan kerahmatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan,kesuburan dan penghasilan, keatas negeri kami,Negeri Selangor Darul Ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu-padu,berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Lindungi kami daripada persengketaan,perpecahan , fitnah-memfitnah dan bencana alam.

1 comment:

  1. syirik.. kdg2 tak sangka boleh sebut sesuatu yg membelakangkan kuasa Allah..

    Ya Allah, lemahnya diri ni...

    ReplyDelete